KOTA BHARU : Pasukan TRW Kelantan FC menarik nafas lega dengan kemenangan yang bergaya ke atas pasukan jiran dari negeri Kelantan (Kelantan United FC) yang berkesudahan dengan jaringan 3-1 di Stadium Sultan Muhammad IV pada perlawanan petang semalam.

Pasukan TRW Kelantan FC terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-40 hasil rembatan kencang dari Nurshamil Abd Ghani yang bijak menerima hantaran dari Syaqimi. Kemasukan Natanael Siringoringo menambah duka pasukan lawan dengan jaringan yang menarik setelah menipu daya dua pertahanan lawan dan bijak mengambil peluang merembat kencang untuk menjaringkan gol kedua pada minit ke-46.

Gassama menjaringkan gol pada minit ke-48 dan tidak lama kemudian Natanael Siringoringo menambah koleksi gol beliau dengan menerima hantaran yang cantik dari Hafizan Ghazali pada minit ke-56.

Penolong Jurulatih TRW Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya menyifatkan kebangkitan anak buahnya adalah aura The Red Warriors yang mana mereka beraksi di luar jangkaan saya dan terpegun dengan prestasi pemain yang memberi persembahan yang cukup memuaskan pada perlawanan semalam.

“Ribuan terima kasih saya ingin ucapkan kepada semua pemain kerana mereka memberikan komitmen yang baik dan saya amat bangga dengan persembahan yang ditunjukkan oleh mereka, saya juga amat berharap mereka mengekalkan prestasi seperti semalam kerana kita masih ada empat baki perlawanan getir yang mana bakal bertemu pasukan Kuching City FC, Negeri Sembilan FC, JDT II FC dan juga Selangor II FC”.

“Saya bersama barisan kejurulatihan akan meneliti dari pelbagai aspek kelemahan yang perlu diperkemaskan untuk perlawanan akan datang dan juga akan memanfaatkan tempoh perlawanan yang ada ketika ini untuk memperbaiki segala kekurangan yang ada dalam pasukan”, jelasnya Rezal.

Kemasukan Natanael Siringoringo pada separuh masa kedua memberi keceriaan di barisan kejurulatihan dengan dua jaringan yang diterjemahkan oleh pemain dari Indonesia itu yang terpaksa diketepikan pada perlawanan lepas bertemu Sarawak United FC atas faktor kecederaan.

“Ringo mengalami kecederaan yang agak kurang serius sebab itu saya tidak meletakkan beliau sebagai pemain utama kerana saya amat memerlukan pemain ini untuk perlawanan akan datang dan kemasukan beliau bersama Haziq Subri membuahkan hasil dengan mencipta beberapa gerakan yang menarik ke arah kubu lawan”.

“Pada awal separuh masa pertama kita mengalami tekanan dengan asakan dari pihak lawan namun benteng pertahanan memainkan peranan yang sangat penting dalam perlawanan semalam dan mereka telah mempelajari kesilapan beberapa perlawanan yang lepas”, katanya Rezal.

Kemenangan yang diraikan oleh pemain dan barisan kejurulatihan TRW Kelantan FC pada perlawanan semalam akan menjadi satu permulaan yang baik dan batu lonjatan untuk pasukan TRW Kelantan FC mengintai kedudukan yang terbaik dalam Liga Premeir Malaysia 2021.

“Saya juga berharap begitu, kerana berdasarkan prestasi pemain pada perlawanan semalam memberi impak yang positif pada pasukan dan semangat juang yang tinggi ditunjukkan oleh anak buah saya yang tidak menyerah kalah terhadap asakan lawan amat membanggakan bagi saya”.

Pasukan TRW Kelantan FC akan bertandang ke bumi Kuching pada 21 Ogos ini bagi perlawanan menentang pasukan Kuching City FC yang bakal berlangsung di Stadium Negeri Kuching.

#TRWKelantanFC #TheRedWarriors #GomoKelateGomo