KOTA BHARU : Pasukan TRW Kelantan FC tiada tuah di halaman sendiri setelah menerima kekalahan yang kedua pada pusingan kedua dalam saingan Liga Premier Malaysia 2021 pada aksi perlawanan semalam yang berkesudahan dengan jaringan 0-2 berpihak pada pasukan Terengganu FC II.

Tersentak dengan jaringan awal dari Jordan Mintah pada minit ke-7 memberi amaran awal pada pasukan TRW Kelantan FC dan susulan jaringan kedua dari Fazli Ghazali pada separuh masa kedua di minit ke-78 menjarakkan kedudukan antara dua pasukan.

Pengendali pasukan TRW Kelantan FC, Marco Ragini jelas kelihatan kecewa dan terima hakikat kekalahan ini dengan hati yang terbuka walaupun harapan dan hasratnya untuk mendapatkan tiga mata penuh pada perlawanan semalam.

Ketiadaan beberapa pemain utama yang mengalami kecederaan antara faktor kerencatan perancangan jurulatih dari Itali itu untuk membentuk skuad yang terbaik untuk berhadapan pasukan Terengganu FC II namun ianya bukan dijadikan sebagai alasan ketika pasukan gagal mendapatkan mata penuh.

“Pemain saya bermain dengan penuh semangat, mereka bermain dengan baik dari perlawanan sebelum ini dan segala perancangan yang dipraktikkan ketika latihan turut dicorakkan dalam permainan namun takdir memisahkan pasukan Kelantan FC untuk mencapai kemenangan pada perlawanan semalam “, katanya Marco.

“Saya ada melakukan perubahan beberapa posisi pemain untuk menampung posisi pemain utama yang mengalami kecederaan, saya amat berpuas hati dengan kehadiran pemain Piala Presiden (Syaqimi dan Hafizan) walau masih tiada pengalaman namun mereka berusaha untuk membuktikan sesuatu kepada penyokong “, jelasnya lagi.

Pada babak masa pertama, pasukan TRW Kelantan FC beraksi dengan kurang baik setelah menerima beberapa asakan serangan dari pasukan Terengganu FC II namun anak buah Marco Ragini berjaya menahan asakan tersebut yang diketuai oleh pertahanan import, Christos Intzidis.

Pada babak masa kedua, pemain TRW Kelantan FC beraksi lebih baik dengan mencipta beberapa gerakan yang menarik dan hampir untuk menjaringkan gol penyamaan.

“Ya, kita melakukan beberapa perubahan pada separuh masa kedua dengan berjaya mencipta beberapa peluang yang menarik serta mendominasikan permainan namun penyudahan yang gagal disempurnakan dengan baik oleh barisan serangan”, jelasnya.

“Kita tidak mempunyai masa rehat yang cukup kerana beberapa hari yang lepas (Rabu) telah turun menentang pasukan PDRM FC, namun ianya tidak boleh dijadikan isu dan saya terima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan berharap kemenangan akan tercapai sekiranya kita terus berusaha”.

Pasukan TRW Kelantan FC akan bertemu pasukan Sarawak United FC yang dijadualkan pada 7 Ogos 2021 nanti dan berharap tuah berpihak pada pasukan TRW Kelantan FC untuk mencuri tiga mata penuh beraksi di tempat lawan.

Teruskan menyokong pasukan Kelantan FC dan berikan kata-kata semangat anda semua buat pemain-pemain muda yang bakal menyinar dan menjulang nama The Red Warriors nanti.

Seluruh warga TRW Kelantan FC menghargai sokongan peminat The Red Warriors dan mengucapkan ribuan Terima Kasih kepada anda semua.

#TRWKelantanFC #TheRedWarriors #93Sports #GomoKelateGomo #ThePowerOfGomoMindset #Zamburger #RadioZamburger #UnclezamRice #KonsortiumMutiara #TRWSelamanya #LigaPremier2021