KOTA BHARU : Latihan tetap dijalankan walaupun kaedah secara dalam talian yang perlu diterapkan oleh pemain sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memastikan tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan yang optimum.

Barisan kejurulatihan Kelantan FC mengarahkan para pemainnya untuk mengambil pendekatan berlatih di rumah masing-masing dan pemain diwajibkan untuk menghantar video latihan yang mereka lakukan pada setiap hari kepada jurulatih.

Pendekatan ini perlu dilakukan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 yang semakin meningkat di negara kita dan memastikan pemain berada dalam keadaan sihat dan bersedia untuk meneruskan perlawanan yang bakal bersambung pada bulan jun nanti.

Pemain pertahanan Kelantan FC, Wan Zulhairil berkata, sebagai seorang pemain perlu menerima setiap arahan yang diberikan dan mengikuti segala perancangan pasukan bagi memastikan pemain berada dalam momentum yang baik.

“Agak sukar untuk berlatih di rumah kerana ianya tidak sama seperti berlatih di padang yang mana mudah difahami setiap arahan yang diberikan untuk memperbaiki segala kelemahan pada individu tersebut, namun dengan keadaan yang semakin meruncingkan menjadikan satu halangan buat pemain untuk berlatih seperti biasa demi kebaikan bersama”.

“Para pemain perlu menghantar video latihan yang dilakukan oleh mereka setiap hari melalui aplikasi ‘Whatsapp’ sebagai laporan tugasan yang diamanahkan oleh barisan kejurulatihan bagi memastikan pemain”, jelasnya lagi.

Selain daripada menjalani latihan dari rumah, pemain diberi arahan untuk menjaga pemakanan yang seimbang dan menjaga kesihatan seperti tidur awal bagi mengelakkan sebarang masalah kesihatan.

“Pemain Kelantan FC sudah terbiasa dengan jadual makan yang diatur oleh Jurulatih Kecergasan agar mengambil makanan yang sihat untuk mengekalkan tahap stamina pemain”.

“Semua pemain diberi arahan untuk memperbaiki segala kelemahan dan meningkatkan mutu latihan sebelum saingan Liga Premier Malaysia bermula”.

Wan Zulhairil mengharapkan wabak COVID-19 ini cepat beransur pulih agar saingan Liga Malaysia dimeriahkan suasana penyokong yang hadir ke stadium.